Dunia

184 Rohingya dalam perjalanan ke Malaysia

Published: Mar 29, 2023 10:02 am . Updated:7:58 pm

KUALA LUMPUR 29 Mac – Hampir 200 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak mendarat di wilayah barat di Indonesia dilaporkan dalam perjalanan ke Malaysia. 

 

Ini berikutan mereka dipaksa terjun daripada sebuah bot dan berenang ke pantai yang mana kebanyakan mereka beragama Islam dan ditindas di Myanmar.

 

Golongan itu sanggup menggadai nyawa setiap tahun mengharungi perjalanan yang lama menaiki bot berkualiti rendah dalam usaha untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

 

Penduduk bandar Peureulak di Aceh Timur memaklumkan perkara itu kepada polis selepas menemui kumpulan pelarian tersebut, kelmarin. 

 

Polis berkata, mereka terdiri daripada 94 lelaki, 70 wanita dan 20 kanak-kanak.

 

“Tiada bot dilihat  pantai ketika mereka tiba.

 

“Ada sebilangan pelarian kelihatan lemah, mungkin kerana sudah berhari-hari tidak makan,” kata ketua mukim Peureulak, Nasri kepada AFP.

 

Sekurang-kurangnya lima orang telah dibawa ke hospital, manakala yang lain ditempatkan di pekarangan sebuah masjid.

 

Masjid tersebut dijadikan tempat perlindungan sementara di mana mereka diberikan makanan dan rawatan perubatan.

 

Pegawai agensi hal ehwal sosial Aceh Timur, Saharani mengesahkan jumlah ketibaan yang sama kepada AFP.

 

Menurut salah seorang pelarian terbabit, mereka diminta terjun ke dalam laut dan disuruh berenang ke daratan oleh kapten bot tersebut.

 

“Selepas itu, bot yang kami naiki segera beredar,” kata pelarian Rohingya dikenali sebagai Ali kepada agensi berita Antara.

Menurutnya, kumpulan pelarian Rohingya itu dalam perjalanan menuju ke Malaysia dari Myanmar.

 

Pegawai tempatan masih berbincang dengan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa mengenai perlindungan untuk kumpulan pelarian terbabit.

 

Lebih 2,000 etnik Rohingya dipercayai mengharungi perjalanan berisiko ke negara-negara Asia Tenggara pada 2022, demikian menurut UNHCR.

 

Agensi sama menganggarkan hampir 200 pelarian Rohingya mati atau hilang ketika cuba menyeberangi laut berbahaya pada tahun lalu. – AFP