Dunia

40 maut dalam kebakaran di Depoh tahanan Imigresen Mexico

Published: Mar 29, 2023 10:56 am . Updated:11:46 am

KUALA LUMPUR 29 Mac - Sekurang-kurangnya 40 orang maut dalam satu kebakaran di sebuah pusat tahanan imigresen di Mexico, berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS). 

 

Pihak berkuasa berkata semalam, tragedi itu sekali gus mencetuskan desakan ramai pihak bagi menuntut keadilan.

 

Kebakaran tercetus lewat malam kelmarin di kemudahan Institut Migrasi Negara (INM) di bandar Ciudad Juarez, menyebabkan berpuluh-puluh jentera bomba dan ambulans dikerah.

 

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, tahanan depoh tersebut dipercayai memulakan kebakaran sebagai protes bagi membantah penghantaran pulang mereka.

 

“Mereka meletakkan tikar pada pintu tahanan dan membakarnya sebagai tanda protes tanpa menyangka ia akan membawa kepada tragedi buruk seperti ini,” kata Obrador.

 

Sementara itu, kemarahan dalam kalangan ahli keluarga mangsa tercetus di luar kemudahan tahanan itu dengan mereka melaung slogan bagi menuntut keadilan.

 

“Setiap imigran mempunyai hak untuk berada dalam keadaan selamat dan dilindungi. 

 

Mereka bukan penjenayah,” kata seorang keluarga mangsa, Fran Martin Perez dari Venezuela.

 

Menurut INM, pusat tahanan tersebut menempatkan 68 imigran dari Amerika Tengah dan Selatan.

 

Menurut pihak berkuasa Mexico, mangsa yang meninggal dunia termasuk tahanan dari Guatemala, Honduras, Venezuela, El Salvador, Colombia dan Ecuador. – AFP