Berita

Dewan Bahasa tidak pernah cadang kuasai bahasa Melayu sahaja, kata bekas KP

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Sallehuddin Abg Shokeran, mempertahankan kritikan Ketua Pengarah DBP sekarang, Hazami Jahari, terhadap penjawat awam yang menggunakan bahasa Inggeris dalam program kerajaan.

Sebagai respons kepada bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ramon Navaratnam, dan bekas menteri perdagangan dan industri, Rafidah Aziz, yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi, Sallehuddin berkata mereka terlalu memberi penekanan kepada bahasa Inggeris sehingga mengabaikan bahasa kebangsaan dan mengetepikan kepentingan budaya serta sejarah bahasa Melayu.

“Dewan Bahasa sentiasa menekankan keutamaan kepada bahasa Melayu dan dalam masa yang sama menggalakkan penguasaan bahasa lain seperti Inggeris, Tamil, Arab dan Cina,” katanya.

Sallehuddin menegaskan bahawa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala Akta Bahasa Kebangsaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu bagi semua urusan rasmi.

“Kita mesti mengambil kira perkara ini dan bukan sewenang-wenangnya mengguna pakai bahasa asing atas nama kemajuan.

“Malah, Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah mengeluarkan arahan supaya penjawat awam menggunakan bahasa kebangsaan. Jika perlu menggunakan bahasa lain, ia boleh dipertimbangkan sebagai pilihan kedua,” katanya.

Sallehuddin turut mengkritik penggunaan bahasa Inggeris dalam kempen kerajaan seperti program “Car-Free Morning” anjuran Kuala Lumpur dan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup “Program Jualan Rahmah Madani Back to School 2025”.

“Kita boleh sahaja guna frasa seperti ‘Balik ke Sekolah’ atau ‘Pagi Bebas Kereta’,” katanya.

Dalam mengkritik penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi, Hazami sebelum ini menyatakan bahawa penjawat awam yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan adalah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Namun, Ramon berpendapat isu ini memerlukan “pendekatan yang lebih seimbang, munasabah dan rasional”.

“Jika bahasa Melayu diabaikan secara sengaja, maka orang ramai berhak untuk mempersoalkannya. Tetapi adalah tidak wajar untuk melabel semua yang menggunakan bahasa Inggeris (dalam urusan kerajaan) sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Ini adalah isu yang rumit dan sensitif. Kerajaan sepatutnya membincangkan perkara ini di peringkat Kabinet kerana satu arahan yang kurang tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham,” kata Ramon kepada FMT.

Rafidah pula berkata banyak negara kini mengutamakan bahasa Inggeris kerana peranannya yang penting dalam membolehkan komunikasi yang berkesan serta akses kepada khazanah ilmu yang luas.

Artikel Berkaitan

Back to top button