Dewan Rakyat cemas, Anthony Loke ‘semput’ ketika sesi jwab lisan bermula
Sidang Dewan Rakyat pagi ini sedikit cemas apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika memulakan sesi jawab lisan.
Mengikut aturan mesyuarat beliau menjawab soalan pertama dikemukakan Wong Chen (PH-Subang), namun tiba-tiba batuk, tercungap-cungap dan memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan dirinya.
Keadaan itu menyebabkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), meminta Loke berehat dan menggesa pemeriksaan di hospital.
“Relaks dulu Yang Berhormat (YB), kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya,” katanya dipetik Berita Harian.
Loke juga dilihat menepuk dadanya beberapa kali, sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah, yang turut berada di dalam Dewan, untuk meneruskan sesi itu.
Selepas mengambil alih sesi itu, Habibollah menyuruh Loke duduk dan bertenang.
“YB (Loke), tenangkan diri, dan saya akan jawab perkara ini dahulu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Chen berhubung garis panduan untuk membenarkan pemandu orang kurang upaya (OKU) dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan rancangan kerajaan untuk mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU untuk mendapatkan lesen PSV.
Bagaimanapun keadaan Loke dilihat bertambah baik ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Chen.