Berita

Dewan Rakyat guna sistem eHantar mulai esok

Dalam jangka masa terdekat, orang awam juga akan dapat mengakses lebih banyak ciri laman web Parlimen Malaysia yang bakal ditambah baik

KUALA LUMPUR 27 Jan – Parlimen akan melaksanakan sistem eHantar mulai esok sebagai satu daripada usaha terkini mendigitalkan urusan Dewan dan meningkatkan mutu perbahasan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) serta usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 boleh dihantar melalui sistem berkenaan.

“Saya meminta Ahli Yang Berhormat memanfaatkan sepenuhnya sistem eHantar yang dibangunkan ini, terutama menjelang bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga pada 26 Februari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johari berkata, dalam jangka masa terdekat, orang awam juga akan dapat mengakses lebih banyak ciri laman web Parlimen Malaysia yang bakal ditambah baik.

Beliau berkata, ia termasuk proses penambahbaikan sistem Penyata Rasmi (Hansard) dalam portal Parlimen yang membolehkan pengguna membuat carian terhadap data-data daripada Hansard dengan lebih mudah.

“Dari segi fizikal, Galeri Awam Dewan Rakyat juga akan melalui proses naik taraf untuk mempertingkatkan pengalaman melawat orang awam di Parlimen bagi menyaksikan sidang mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia merangkumi aturan urusan mesyuarat, perbahasan dan pertanyaan, di samping memahami peranan petugas-petugas Dewan Rakyat termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Rakyat, Bentara Mesyuarat, Bentara Parlimen, Pelapor dan lain-lain,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan Ahli Dewan Rakyat menggunakan kemudahan Penyelidikan Parlimen Malaysia dengan sepenuhnya untuk mendapatkan data serta maklumat penting bagi melonjakkan kualiti perbahasan dalam Dewan Rakyat. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button