Berita

Dilantik sebagai Menteri Luar, Tok Mat belum jejak kaki lagi di pejabat baharu di Putrajaya

Mohamad kini merupakan sebahagian daripada delegasi rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja mereka ke Jepun

TOKYO 19 Dis – Biarpun belum lagi menduduki pejabat baharunya, Menteri Luar yang baru dilantik, Datuk Seri Mohamad Hasan melaksanakan tugas dengan lancar dan Tokyo menjadi medan ujian untuknya.

Mohamad kini merupakan sebahagian daripada delegasi rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja mereka ke Jepun.

Peralihan penting ini berlaku susulan pelantikan Mohamad sebagai Menteri Luar baru-baru ini, satu peranan yang digalas beliau selepas rombakan Kabinet diumumkan dua hari sebelum perjalanan ke Tokyo.

Beliau menggantikan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.

Ketika ditanya mengenai peranan baharunya semasa majlis minum petang diaspora Malaysia di sini, Mohamad secara berseloroh berkata:” Saya belum lagi menjejakkan kaki di pejabat baharu saya di Putrajaya tetapi saya sudah ada di sini sekarang sebagai Menteri Luar.”

Oleh kerana kesuntukan masa selepas pelantikannya dan lawatan kerja ini, Mohamad berkata, beliau tidak berpeluang untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kementerian itu atau membuat persiapan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, di Jepun, beliau dapat memperuntukkan masa daripada jadual padatnya, termasuk bertemu dengan kapten industri bersama Perdana Menteri dan menghadiri perjumpaan di Kementerian Luar Jepun dengan rakan sejawatnya Yoko Kamikawa.

Apabila ditanya mengenai pertemuannya dengan Yoko, beliau berkata: “Tiada masalah kerana saya pernah berjumpa dengan Yoko sebelum itu semasa saya Menteri Pertahanan.”

Semasa lawatan itu, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN – Jepun dan Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Emisi Asia (AZEC) menawarkan sebuah platform terbaik untuk Mohamad membiasakan diri dengan rakan-rakan sejawatnya dari negara-negara ASEAN. – Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button