Dividen istimewa 2% Bank Rakyat mula dibayar pada hari ini
Bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, dividen istimewa Bank Rakyat sebanyak dua peratus akan mula dibayar pada hari ini 28 September 2024 dengan jumlah sebanyak RM56.6 juta kepada 784,487 anggota.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pembayaran dividen istimewa ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan pulangan yang kompetitif kepada anggota, di samping menandakan pencapaian Bank Rakyat yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masyarakat sebagai salah satu institusi kewangan Islam terbesar serta bank koperasi Islam terbesar di Malaysia.
Bank Rakyat komited untuk mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang. Ini termasuk dalam memanfaatkan potensi yang boleh diteroka dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk anggota dan pelanggan.
“Dividen ini bukan sahaja merupakan tambahan kepada pendapatan anggota tetapi juga membantu mencapai matlamat kewangan peribadi mereka, sama ada untuk simpanan, pelaburan atau perbelanjaan harian.”
Pada 5 April lalu, Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 15 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta. Ini termasuk pengumuman dividen istimewa sebanyak dua peratus bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-70.
Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sebanyak RM1.76 bilion, berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau RM64.48 juta.