Berita

DNAA Zahid: Hanya penjelasan Peguam Negara saja dapat yakinkan rakyat – Guan Eng

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya

KUALA LUMPUR 13 Sept – DAP menuntut Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang baharu dilantik memberi penjelasan lanjut berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata penjelasan lebih lanjut akan dapat meyakinkan rakyat kerana kerajaan perlu mengakui banyak pihak tidak berpuas hati termasuk Majlis Peguam terhadap keputusan berkenaan.

Beliau juga berharap kerajaan memberi tempoh setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

“Hanya langkah seperti itu akan dapat meyakinkan rakyat bahawa reformasi masih membara bukan seperti dilaungkan pihak tertentu.

“Sudah tentu dengan adanya jawatankuasa ditubuhkan akan dapat meyakinkan rakyat mengenai niat baik Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Keputusan ini menyebabkan pelbagai pihak mendesak Peguam Negara memberikan penjelasan lanjut mengenainya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button