Dr Noor Hisham dilantik Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI
Lantikan itu berkuat kuasa pada 1 Oktober depan.

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata Dr Noor Hisham akan bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik Hospital UCSI, sebuah hospital swasta di Port Dickson, Negeri Sembilan dan anak syarikat lain di bawah Kumpulan Kesihatan UCSI.
“Beliau akan berkhidmat sebagai Pakar Perunding Bedah (pelawat) dalam bidang payudara, endokrin dan pembedahan am,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Dr Noor Hisham juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti UCSI dan akan menyumbang kepada program latihan klinikal dan penyelidikan perubatan, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Dr Siti Hamisah yang juga Naib Canselor Universiti UCSI berkata, kepakaran dan pengalaman luas dalam dasar penjagaan awam dimiliki Dr Noor Hisham akan memberi banyak manfaat kepada universiti itu dan Kumpulan Kesihatan UCSI.
“Beliau (Dr Noor Hisham) adalah pejuang barisan hadapan dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 yang lalu, beliau memimpin melalui teladan dan rekod prestasinya dalam perkhidmatan awam tiada tandingannya. Saya yakin dia akan membawa UCSI ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Dr Noor Hisham bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lalu selepas 35 tahun berada dalam perkhidmatan awam dan menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam penjagaan kesihatan awam dan kepemimpinannya semasa wabak itu.
Beliau juga diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi COVID-19 bersama Pakar Penyakit Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield. — Bernama