Politik

Dr Syed Husin Ali meninggal dunia

TIMBALAN Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali meninggal dunia pada usia 87 tahun awal pagi ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang memuat naik khabar duka berkenaan di akaun media sosialnya, turut memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 18 Jun lalu.

“Saya telah menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu.

“Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk ‘Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara’ yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) serta ‘Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN’, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air,” kata Fahmi.

Terdahulu, keadaan Allahyarham dilaporkan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Perkara itu dikongsikan anaknya, Muhammad Ali yang memaklumkan bahawa keadaan kesihatan ayahnya itu merosot secara tiba-tiba.

Semasa hayatnya, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Presiden Parti Rakyat Malaysia dan profesor di Universiti Malaya.

Dilahirkan di Batu Pahat pada 23 Sept 1936, Syed Husin banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain merupakan antara tokoh senior dalam politik tanah air.

Fahmi turut berkongsi, beliau pernah membantu kempen Allahyarham pada pilihan raya umum 2004 sewaktu beliau bertanding di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

“Syed Husin seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan.

“Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

“Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang beriman,” tambahnya.

 

Artikel Berkaitan

Back to top button