Santai

Dream Forest Langkawi, sampaikan kisah lagenda Melayu dengan teknologi magis di hutan hujan pada waktu malam

Terletak di kaki Gunung Raya dalam hutan purba Lubuk Semilang, Dream Forest Langkawi muncul sebagai tarikan terbaru yang memukau di Malaysia. Ia menawarkan pengalaman malam yang menggabungkan keindahan alam semula jadi, kisah lagenda tempatan dan teknologi canggih, menjadikan setiap lawatan satu pengembaraan luar biasa untuk pengunjung dari pelbagai lapisan umur.

Apabila malam menjelma, Dream Forest Langkawi berubah menjadi dunia penuh magis. Pengunjung akan melalui Portal Buku Dream Forest, pintu masuk ke alam Sang Gedembai, penjaga lagenda dan hutan.

Di sinilah kisah-kisah agung seperti cinta tragis Tasik Dayang Bunting, pertempuran epik Merong Mahawangsa dengan Garuda, serta kisah gergasi Langkawi dihidupkan semula melalui cahaya, muzik, pemetaan projek, seni interaktif dan penceritaan yang mengasyikkan.

Laluan sepanjang 1.2 kilometer ini direka dengan teliti agar tidak menebang sebatang pokok pun, mengekalkan keaslian dan keindahan hutan hujan. Terdapat 14 zon berbeza yang setiap satunya menampilkan tema dan kisah unik, membolehkan pengunjung benar-benar tenggelam dalam dunia lagenda Langkawi.

Pada waktu siang, Dream Forest Langkawi turut menawarkan aktiviti berjalan dalam hutan, ‘forest bathing’ dan peluang melihat haiwan liar seperti tupai terbang, lotong dan burung enggang yang menjadi penghuni tetap Lubuk Semilang. Ini menjadikan Dream Forest bukan sekadar tarikan malam, tetapi juga pusat pemuliharaan alam dan pendidikan alam sekitar.

Konsep Dream Forest Langkawi diilhamkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, seorang tokoh seni kreatif terkenal Malaysia. Beliau bersama pasukan Enfiniti Group telah menggabungkan pengalaman dalam filem, pentas, seni persembahan dan teknologi untuk menghasilkan tarikan bertaraf dunia yang meraikan warisan budaya tempatan.

Sejak dibuka, Dream Forest Langkawi telah meraih pelbagai anugerah berprestij seperti MOST ENCHANTING NIGHT RAINFOREST EXPERIENCE dan BEST IMMERSIVE OUTDOOR EXPERIENCE di MATFA Golden Horse Awards 2023, serta BEST OUTDOOR IMMERSIVE EXPERIENCE di Tourism Industry Award 2024. Dalam tempoh setahun sahaja, Dream Forest telah membuktikan keunggulannya dalam industri pelancongan Malaysia.

Pengalaman di Dream Forest Langkawi bukan sekadar hiburan, malah memberi impak positif kepada komuniti setempat. Ia membuka peluang pekerjaan, memperkasa masyarakat melalui latihan dan pemindahan teknologi, serta mencipta peluang perniagaan baharu. Kejayaan ini turut disokong oleh agensi pelancongan utama seperti Tourism Malaysia, PKNK, TERAJU dan LADA.

Dream Forest Langkawi juga menjadi destinasi pilihan untuk pelbagai acara seperti lawatan keluarga, rombongan sekolah, korporat, penganjur majlis, perkahwinan, festival seni dan budaya. Dengan harga tiket yang mesra rakyat dan pelbagai kemudahan, ia mudah diakses oleh semua golongan pengunjung.

Gabungan teknologi interaktif, seni visual, narasi kreatif dan kelestarian alam menjadikan Dream Forest Langkawi satu-satunya pengalaman seumpamanya di Malaysia. Setiap pengunjung akan membawa pulang kenangan magis yang sukar dilupakan, sekaligus menambah nilai kepada industri pelancongan negara.

Bagi mereka yang ingin merasai keajaiban lagenda Melayu dalam suasana hutan hujan tropika yang memukau, Dream Forest Langkawi adalah destinasi wajib dilawati. Ia bukan sekadar perjalanan malam, tetapi satu pengembaraan ke dunia mitos, budaya dan keindahan alam yang sebenar.

Artikel Berkaitan

Back to top button