Berita

DSP, Inspektor antara 5 pegawai ditahan miliki 5,200 ml ketum di Melaka

Pegawai kanan yang ditahan masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah

MELAKA 6 Feb – Seorang Deputi Superintendan dan Inspektor antara lima pegawai polis yang ditahan selepas dikesan memiliki 6,800 mililiter (ml) cecair ketum dalam serbuan di sebuah kediaman di Alor Gajah, malam tadi.

Kelima-lima pegawai itu bersama seorang lagi orang awam yang kesemuanya berusia antara 31 sehingga 55 tahun telah ditahan sepasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pegawai kanan yang ditahan masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Katanya, tiga lagi ditahan adalah pegawai rendah daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah dengan dua daripadanya berpangkat Sarjan di Cawangan Mahkamah serta Penolong Penyiasat, manakala seorang Lans Koperal.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis iaitu kediaman salah seorang pegawai berpangkat Sarjan telah membawa kepada rampasan tiga botol dan plastik lutsinar mengandungi cecair ketum seberat 5,200 ml.

“Turut dirampas adalah sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu besen bewarna hijau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Polis Melaka akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang terlibat dengan pelanggaran disiplin, sekali gus memberi implikasi negatif kepada nama baik PDRM.

“Operasi sebegini akan terus dijalankan bagi membersihkan sebarang anasir-anasir tidak baik daripada terus merebak dan memastikan pegawai polis menjadi gunting di dalam lipatan dikenakan tindakan sewajarnya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button