Berita

Dua anggota polis cedera tertimbus ketika persiapan musnah bom dalam keadaan stabil

Dua anggota polis daripada Unit Pemusnah Bom dan Pensenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika sedang membuat persiapan pemusnahan bom di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak semalam, dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, mengalami patah tulang peha kiri dan satu tulang rusuk sebelah kiri.

Manakala Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.

“Hasil siasatan awal mandapati kejadian berkenaan berlaku ketika unit pemusnah bom sedang membuat persiapan pemusnahan bom di lokasi.

“Akibat runtuhan tanah dinding lubang lokasi pemusnahan bom menyebabkan dua anggota unit berkenaan dari IPK Johor tertimbus dan mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Bahrin, sebelum kejadian pihaknya IPD Kluang menerima panggilan dari orang awam pada jam 8.50 pagi melaporkan terjumpa bom lama di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak di sini.

“Susulan itu sepasukan polis dari unit terbabit ke lokasi bagi tujuan pemusnahan bom.

Bagaimanapun pada jam 2.20 petang Pusat Gerakan Daerah (DCC) IPD Kluang telah menerima panggilan MERS 999 dari anggota pondok polis Sri Lambak melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di lokasi penemuan bom berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya. – Astro AWANI

Artikel Berkaitan

Back to top button