Dua nota diplomatik Saudi sahkan pertemuan Anwar dengan Raja Salman
Nota Diplomatik adalah antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan.

PUTRAJAYA 28 Mac – Dua nota diplomatik yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi mengesahkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu minggu lalu turut membabitkan kunjungan hormat dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata Wisma Putra menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac lalu yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi pada 22 hingga 25 Mac.
“Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi.
“Kedua-dua Nota Diplomatik itu merujuk kepada lawatan Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
“Kedua-dua Nota Diplomatik jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al- Munawwarah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata Nota Diplomatik adalah antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan.
Persiapan awal lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi minggu lalu dilakukan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan rasmi pemimpin ke luar negara, tambahnya.
Katanya, isu lawatan Perdana Menteri itu dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu dan tindakan itu jelas tidak adil kepada kementerian, kerajaan dan kerajaan Arab Saudi sendiri.
Beliau berkata, ini kerana perkara yang dibangkitkan pihak bekenaan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan itu.
Beliau berkata, secara keseluruhan program Perdana Menteri berjalan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac.
“Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).
“Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri, begitu juga ziarah di Madinah,” katanya.
Tambah Zambry, delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Arab Saudi.
“Bagaimanapun, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan itu tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.
“Ini termasuk Majlis Iftar bersama Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac dan lawatan ke Kemboja pada 27 Mac,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Arab Saudi yang dianggap rakan strategik.
“Dalam konteks ini, kementerian menegaskan bahawa polemik serta tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit.
“Ia tidak akan membantu dalam usaha kementerian memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa,” katanya.
Semalam, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendakwa lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi dianggap sebagai ‘kesilapan diplomatik yang besar’ berikutan Perdana Menteri gagal mengadakan pertemuan dengan Raja Salman dan Mohammed Salman.
Selain itu, pembangkang juga menjadikan lawatan itu sebagai isu dengan membuat usul di Dewan Rakyat semalam tetapi ditolak. – Berita Harian