Sukan

Dua penalti selamatkan maruah Harimau Malaya

Jaringan penalti Stuart Wilkin dan Sergio Aguero pada babak kedua membantu Harimau Malaya menewaskan pasukan di tangga 187 dunia, Laos 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT, Bangkok, sebentar tadi.

Beraksi dalam keadaan permukaan padang yang ditakungi air akibat hujan, ia jelas menyukarkan kedua-dua pasukan untuk mengatur gerakan lebih menarik.

Harimau Malaya yang berada di ranking 133 dunia bagaimanapun berada di depan hasil jaringan tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit keenam sebelum kelebihan itu dipadam Laos menerusi gol penyamaan Kydavone Souvanny minit ke-33.

Keadaan padang pada babak kedua lebih baik selepas hujan mula berhenti di penghujung separuh masa pertama dengan Harimau Malaya dilihat berjaya mempamerkan corak permainan lebih menarik dan menguasai permainan.

Stuart Wilkin yang masuk sebagai pemain gantian tidak menunggu lama untuk kembali meletakkan Harimau Malaya di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64 selepas dia dijatuhkan Sengdaovy Hanthavong.

Pemain Sabah itu memperoleh peluang terbaik pada minit ke-77 selepas menerima hantaran daripada Aguero, namun tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso.

Aguero kemudian mengesahkan kemenangan buat Harimau Malaya apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit-83 selepas dia dikasari Phoulaung Vinnavong.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente seterusnya akan terbang ke Hyderabad untuk satu lagi aksi persahabatan menentang pasukan di ranking 125 dunia, India, Isnin ini.

Artikel Berkaitan

Back to top button