Dua remaja basikal lajak ditahan selepas aksi bahaya tular di media sosial

Polis Subang Jaya menahan dua remaja bawah umur selepas mereka dikesan melakukan aksi berbahaya dengan menunggang basikal lajak di persimpangan lampu isyarat Putra Heights. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan mengenai video kejadian itu pada pukul 5.13 petang semalam.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku pada 4 Disember sekitar 5.55 petang apabila dua penunggang basikal lajak dari Persiaran Putra Perdana menuju ke Kampung Tengah melanggar lampu merah dan hampir merempuh sebuah kereta yang sedang melalui laluan hijau.
Tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Berdasarkan maklumat risikan trafik, kedua-dua remaja terbabit berjaya ditemui dan ditahan di Bukit Lanchong sebelum dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Subang Jaya, Inspektor Mohd Aziziul Hakim Roslan. Terdahulu, Kosmo! melaporkan insiden seorang kanak-kanak menunggang basikal lajak yang hampir dilanggar kereta di kawasan sama, yang turut dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kenderaan.








