Dunia

(VIDEO) Kereta kabel tersangkut di Pakistan, 2 terselamat, 6 masih terperangkap

Kereta kabel itu hanya bergantung dengan satu kabel apabila satu daripada putus di pertengahan lembah dan gunung

ISLAMABAD 22 Ogos – Dua pelajar berjaya diselamatkan sementara 6 lagi termasuk seorang guru masih terperangkap dalam kereta kabel yang tergantung merentasi sebuah lembah yang dalam di Pakistan hari ini.

Pasukan penyelamat dengan dua helikopter dilihat berlegar berhampiran kereta kabel itu sempat memberikan bantuan makanan dan minuman kepada mangsa yang masih terperangkap.

Kesemua mereka terperangkap dan tergantung di dalam kereta kabel itu, 274 meter (900 kaki) di atas gaung selepas wayar kabel terputus.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)


Pegawai penyelamat, Shariq Riaz Khattak berkata misi menyelamat yang menggunakan helikopter terbabit sangat berisiko kerana dihalang oleh angin kencang selain cuaca semakin gelap.

“Bilah pemutar helikopter juga berisiko menjejaskan kestabilan kereta kabel berkenaan.

“Kanak-kanak yang terkandas sejak pukul 7 pagi menggunakan kereta kabel untuk ke sekolah di kawasan pergunungan di Battagram, kira-kira 200 kilometer utara Islamabad,” katanya kepada pemberita tempatan.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan berkata dua helikopter tentera telah dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat selepas percubaan membaiki kerosakan itu tidak berjaya.

Pegawai kanan kerajaan di Khyber Pakhtunkhwa, Syed Hammad Haider, berkata kereta kabel itu tergantung 304 meter hingga 365 meter dari permukaan Bumi, hanya disokong oleh satu kabel tunggal.

“Kami sudah meminta kerajaan Khyber Pakhtunkhwa menyediakan sebuah helikopter kerana kerja menyelamat tidak boleh dilakukan tanpanya,” katanya.

Salah seorang lelaki yang tersangkut dalam kereta kabel berkata sudah lebih 10 jam berlalu sejak mereka tergantung di udara.

“Keadaan amat buruk sehingga menyebabkan seorang pelajar pengsan. Sebuah helikopter menghampiri kami tetapi tidak melakukan apa-apa.

“Tolonglah bantu kami,” kata Gulfraz menerusi telefon dan mengesahkan lapan mangsa berada dalam kereta kabel.

“Kereta kabel ini tergantung dengan hanya menggunakan satu tali. Terdapat minimum lapan penumpang, termasuk tujuh pelajar berusia 10 hingga 15 tahun, murid sekolah dan seorang guru,” kata pegawai kanan agensi penyelamat daerah, Abdul Basit Khan, kepada AFP.

Kabel berkenaan tergantung di tengah lembah yang dalam, dikelilingi gunung-ganang, yang menyebabkan kereta kabel kerap diguna sebagai penghubung antara pekan dan bandar terpencil.

Sehingga kini misi menyelamat masih diteruskan. – Reuters

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button