Berita

Dua warga asing rogol, samun perempuan atas jejantas KTM Serdang

Mangsa dilaporkan adalah perempuan warganegara Malaysia berumur 29 tahun dan masih bujang

SERDANG 17 Jan – Polis menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai suspek kes samun dan rogol membabitkan seorang mangsa perempuan di jejantas KTM Serdang, Seri Kembangan, pada 14 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan berkata suspek pertama ditahan pada 15 Januari lalu di kawasan kaki lima sebuah kondominium, di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Katanya, turut ditahan adalah seorang lagi rakan senegaranya yang berusia 29 tahun. Suspek kedua itu dipercayai adalah rakan sejenayah dalam satu lagi kejadian samun di kawasan yang sama pada 30 Disember lalu.

“Pada 14 Januari lebih kurang pukul 12.40 pagi, semasa itu mangsa sedang berjalan kaki melalui jejantas KTM tersebut dan melihat seorang lelaki bangsa tidak pasti telah menghampiri pengadu.

“Mangsa telah disamun telefon bimbit dan dirogol dengan mengacukan pisau untuk memberi ketakutan kepada mangsa ketika mangsa melalui tempat kejadian dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerja.

“Laporan polis telah dibuat oleh pengadu pada hari yang sama kira-kira pukul 3 pagi,” katanya.

Mangsa dilaporkan adalah perempuan warganegara Malaysia berumur 29 tahun dan masih bujang. Dia bekerja sebagai promoter sementara di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, dan tinggal sementara di Jalan Dagang, Sungai Besi, berhampiran dengan tempat kejadian.

“Suspek pertama, penganggur berusia 23 tahun, mengaku telah merogol dan menyamun menggunakan senjata palsu ke atas pengadu. 

“Sementara, suspek kedua juga mengaku terlibat juga dalam kes samun pada 30 Disember di kawasan jejantas KTM Serdang. 

“Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 392/397/376 Kanun Keseksaan serta 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. 

“Tempoh tahanan reman selama tujuh hari bermula 16 Januari sehingga 22 Januari. Jika sabit kesalahan melakukan rogol hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

“Manakala, kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan sebat tidak lebih enam kali sebatan jika disabit kesalahan,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button