Duduk rumah penuh sampah sarap, takungan najis, 2 beranak dibantu JKM
Pasangan ibu dan anak itu tinggal di sebuah rumah flat terbiar.

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Dua beranak yang mendiami sebuah unit rumah pangsa usang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis di Flet Taman Silibin, Ipoh, Perak akan dibantu dengan dua bentuk bantuan bulanan berjumlah RM900 kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata kerajaan negeri turut mengarahkan JKM mengeluarkan Tabung Bantuan Segera (TBS) RM300.
Salbiah berkata, bantuan bulanan JKM yang dicadang untuk diterima keluarga itu adalah Bantuan Am Negeri (BA) RM400, dan Bantuan Warga Emas (BWE) RM500 melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta.
JKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Puteri Kebajikan juga akan mengenal pasti rumah sewa yang lebih sesuai untuk dua beranak masing-masing berumur 46 dan 77 tahun.
“Berdasarkan cadangan bantuan bulanan JKM berjumlah RM900, selain RM500 lagi bantuan yang sedia diterima keluarga itu daripada baitulmal akan membolehkan penama dan ibunya (dua beranak terbabit) tinggal di tempat yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dua beranak tinggal dalam rumah pangsa terbiar
Menurut Salbiah, berdasarkan maklumat awal, seorang lelaki berumur 46 tahun dan ibunya yang uzur berusia 77 tahun tinggal di rumah pangsa terbiar dan usang itu yang dimiliki individu lain tanpa dikenakan bayaran sewa sejak dua tahun lalu.
Lelaki terbabit mengalami masalah kemurungan tahap minima serta tidak mahu membenarkan ibunya dimasukkan ke rumah kebajikan dan sanggup menjaga ibunya itu.
“Sudah dua tahun mereka tidak membayar sewa, (kerana) rumah ‘flet’ (pangsa) di kawasan itu yang usang dengan banyak unit tiada penghuni,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan dua beranak itu hidup dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis yang bertahun lamanya bahkan rumah berkenaan dianggap tempat yang tidak layak dihuni oleh manusia terutama dengan limpahan air kumbahan yang bertakung di sepanjang ruang masuknya. — Berita Harian