Berita

Dulu Saifuddin lantang kritik salah guna kuasa, sekarang… – Takiyuddin

Takiyuddin mengingatkan Saifuddin jangan mengalahgunakan dalam sesuatu yang tidak benar

KUALA LUMPUR 24 Okt – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak jelas dengan isu membabitkan agama, raja dan kaum (3R).

Berikutan itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kerajaan sepatutnya memperincikan kesalahan-kesalahan yang boleh dikaitkan dengan isu tersebut.

Malah katanya, penggubalan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan isu berkenaan merupakan jalan terbaik bagi memberikan pencerahan mengenai perkara tersebut.

“Kita sebenarnya tidak jelas apa kesalahan yang dikaitkan dengan 3R ini, apakah kesalahan yang boleh diklasifikasikan dalam perkara yang tergolong dalam 3R ini.

“Adakah apa-apa tentang agama, kaum dan raja atau apa. Tahap mana, saya setuju dengan Kuala Selangor supaya buat undang-undang biar telitikan perkara ini dan apa yang tidak boleh disebut,” katanya ketika membahaskan perbentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa terdapat 104 kes disiasat polis berkait isu 3R.

Antaranya kes terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut PH menaja kumpulan Yahudi dan sebabkan kristianisasi di Malaysia pada 17 November 2022 dalam satu ceraman di Muar, Johor.

Muhyiddin disiasat sebanyak lima kali berkaitan isu 3R sebelum ini.

Turut disiasat adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa PH menolak Islam dan menyokong komunis.

Dalam perbahasan sama, Takiyuddin membidas sikap Saifuddin yang sebelum ini hebat mengkritik salah guna kuasa ketika menjadi pembangkang.

“Masihkan Menteri KDN ingat semasa reformasi dahulu engkaulah yang lari pergi ke seberang, kami yang menziarahi beliau itulah beliau tidak berani berada di sini hari ini.

“Itu sikap beliau pada masa itu yang menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa. Saya nak menyatakan bahawa inilah sikap yang perlu diambil oleh menteri KDN apabila beliau menjadi menteri, jangan mengalahgunakan dalam sesuatu yang tidak benar.

“Ia bercanggah dengan undang-undang seperti polis menjaga keamanan bukan menjaga kepentingan politik pihak kerajaan sendiri. Saya hairan mengapa beliau bersikap begitu, saya yakin kami di sebelah sini kalau berada di sebelah sana kita tidak akan melakukan perkara sama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil, yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura, dan cadangan mengenainya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri. – MalaysiaGazette

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button