Hiburan

Dynas Mokhtar hilang hampir RM30,000 dalam bank libatkan 11 transaksi

Terdapat 11 transaksi mulai 8 hingga 12 Januari lalu yang dilakukan tanpa pengetahuannya.

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Pelakon wanita, Dynas Mokhtar mengalami kerugian RM29,313 apabila wang simpanan peribadinya di dalam akaun bank lesap tanpa pengetahuannya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa) setelah mengesan kenyataan mangsa berusia 40 tahun itu yang juga pengurus syarikat kosmetik di laman sosial mengenai kehilangan wang simpanannya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita itu telah membuat semakan penyata akaun peribadi pada Sabtu lalu dan mendapati terdapat 11 transaksi mulai 8 hingga 12 Januari lalu yang dilakukan tanpa pengetahuannya.

“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan beliau tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga atau menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (kata laluan sekali) bagi kesemua transaksi tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini.

“Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, boleh disalurkan kepada hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 21460584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button