Ebit Lew buat laporan polis, berlaku fitnah melampau
Ebit Lew menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk siasatan.

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pendakwah bebas, Ebit Lew, membuat laporan polis mendakwa berlaku fitnah melampau yang dilemparkan terhadap diri.
Menerusi hantaran di Instagram, dia berkata, laporan polis itu dibuat sebaik dia tiba dari Jeddah, Arab Saudi pada jam 12 tengah malam tadi.
View this post on Instagram
“Saya serahkan pihak polis untuk mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Hantaran itu dimuat naik bersama sekeping gambar dirinya memegang salinan laporan polis di hadapan pintu Balai Polis USJ 8, di Subang Jaya.
Hantaran itu bagaimanapun tidak menyebut tentang fitnah melampau yang didakwa dilemparkan itu.
Namun, laporan polis itu dipercayai berkaitan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.
Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah bebas terkenal dari Malaysia ketika kali pertama tiba di Malaysia tahun ini. — Xklusif