Berita

Ekonomi Hatyai makin baik, orang Malaysia sumbang lebih 2 bilion Baht dalam masa dua minggu

Pelancong Malaysia meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan musim cuti hujung tahun

KUALA LUMPUR 2 Jan – Pelawat dari Malaysia ke Hatyai, bandar raya di selatan Thailand yang meriah, meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan musim cuti hujung tahun, menyumbang lebih 2 bilion Baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum tahun berakhir.

Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai (Hatyai Songkhla Hotels Association), Sitthipong Sitthiprapha berkata daya tarikan Hatyai yang tidak dapat dinafikan terletak pada gabungan pilihan makanan yang enak dan beraneka, akses yang mudah dan pilihan penginapan pada harga berpatutan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata Hatyai telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi penggemar pelancongan yang mencari percutian yang menarik dan mesra bajet.

Pada hari biasa sepanjang tahun, beliau berkata Hatyai pada kebiasaannya menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

“Hatyai mengalami peningkatan yang ‘menggembirakan’ dalam bilangan pengunjung dari Malaysia sepanjang musim cuti hujung tahun.

“Pada hujung minggu musim puncak (Krismas dan Tahun Baru), Hatyai menerima purata 20,000 rakyat Malaysia setiap hari, manakala pada hari biasa terdapat kira-kira 10,000 pelawat.

“Semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru, perbelanjaan purata pelancong Malaysia bagi setiap perjalanan mencecah 10,000 baht bagi setiap orang.

“Oleh itu pelancong Malaysia dianggarkan menyumbang kira-kira 2 bilion baht kepada ekonomi Hat Yai semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru ini,” katanya kepada Bernama.

Sitthipong juga menyatakan hotel Hatyai telah menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan penginapan di pusat bandar, kawasan popular untuk pelancong Malaysia, ditempah sepenuhnya semasa kemuncak minggu percutian.

Beliau berkata Hatyai kini mempunyai kira-kira 20,000 bilik, termasuk 8,000 hingga 12,000 yang tertumpu di pusat bandar.

Kementerian Pelancongan dan Sukan berkata Thailand menyambut 27.25 juta pelancong dengan pelancong Malaysia mendahului senarai dengan 4.43 juta, diikuti oleh China (3.41 juta) dan Korea Selatan (1.6 juta), India (1.58 juta) dan Rusia (1.42 juta), setakat 24 Dis lepas. Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button