Berita

Elak ketirisan, semua perbincangan laporan audit perlu diminitkan – Anwar

Anwar menyorot bahawa ketirisan dan kerugian negara mencecah berbilion ringgit

KUALA KUMPUR 6 Nov – Dalam usaha memperbaiki tata kelola pentadbiran negara hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta setiap perbincangan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diminitkan.

Bercakap di Putrajaya, Anwar mahu semua ketua setiausaha (KSU) kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan meminitkan setiap perbincangan mengenainya supaya ia dapat disampaikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Saya minta semua ketua jabatan teliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai jabatan berkenaan tetapi melihat keseluruhan usul cadangan untuk memperbaiki tata kelola.

“Saya akan cadang kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara) supaya semua ini diminitkan. Ketua jabatan, ketua pengarah atau KSU harus meminitkan perbicangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada KSN, supaya dipastikan ia dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran ketua audit negara,” katanya dalam perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini di Putrajaya.

Anwar menyorot bahawa ketirisan dan kerugian negara mencecah berbilion ringgit.

“Subsidi ayam RM100 juta sebulan. Ia memberi keuntungan kepada 3.5 juta orang asing juga kumpulan mahakaya yang menjadi debat menarik di Parlimen.

“Elektrik 90 peratus masih diberikan subsidi, kita tarik subsidi bukan kenakan cukai tambahan, tarik subsidi kepada golongan maha kaya 10 peratus teratas, kita jimatkan RM4 bilion lebih dari ayam saja RM1.2 bilion setahun.

“Jadi, bila kita apungkan harga sekarang ini, harga masih rendah tidak sampai RM9.40 ikut harga siling. Jadi, kebocoran ini sama ada dari segi kebocoran kerana dasar yang belum (dibuat) penyelarasan subsidi atau pun kerana yang ditegur oleh ketua audit negara itu harus diberi perhatian,” katanya.

Tambah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, cadangan meminitkan LKAN itu juga penting bagi menyentuh kedudukan di jabatan terbabit sekali gus tidak mengulangi masalah yang sama.

“Saya dahulu masa (menjadi) menteri kewangan, saya mempengerusikan jawatankuasa pengurusan (berkaitan) antirasuah, satu jawatan tidak popular kerana ada menteri yang marah kepada saya.

“Pada masa itu pun kita sudah mengulas mengenai LKAN (dan didapati) ada masalah yang terus menerus berlaku.

“Kalau saudara baca laporan beberapa tahun lalu, jam yang patut (berharga) RM400, dikenakan bayaran RM4,000, ada buku sekolah yang tak sampai kepada pelajar tetapi (harga buku) dibayar dan perkara seperti ini, kadang-kadang ia berulang kerana pemantauan kita lemah dan saya katakan ia adalah kerja tanpa nilai,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button