Jenayah

Empat sahabat dijel 16 tahun rogol murid darjah enam

Empat tertuduh didakwa secara bersama merogol mangsa di ladang sawit di Ketengah Jaya, Dungun antara jam 9 malam hingga 11 malam pada 29 September 2020

KUALA TERENGGANU 17 Dis – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas empat sahabat atas pertuduhan merogol secara berkumpulan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas semua empat tertuduh iaitu Muhammad Farizal Fauzi, 20; Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 24; Muhammad Ghardafi Abdullah, 23 dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 26, selepas masing-masing didapati salah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama merogol mangsa di ladang sawit di Ketengah Jaya, Dungun antara jam 9 malam hingga 11 malam pada 29 September 2020.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tiga tertuduh bermula tarikh sabitan iaitu hari ini, manakala hukuman ke atas Ahmad Shah Herfudin bermula tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Oktober 2020

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Syahrizal Wan Ladin dan Mohd Shahir Mat Jusoh.

Media sebelum ini melaporkan lima lelaki ditahan kerana disyaki merogol seorang murid tahun enam.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa ditahan dua suspek dengan seorang daripadanya dikenali dan kemudian mengajaknya ke ladang sawit sebelum dirogol.

Tiga lagi suspek yang tiba di lokasi kejadian turut merogol mangsa.

Empat lelaki pada 5 Februari lalu diarahkan membela diri, manakala seorang lagi yang berusia 19 tahun dibebaskan daripada pertuduhan. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button