Empat sekeluarga hilang ditemukan selamat di Kluang
Empat sekeluarga itu sebelum ini dilaporkan hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian apda hujung minggu lalu.

KUALA LUMPUR 3 Okt – Sebuah keluarga yang dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian pada hujung minggu lalu ditemui selamat di rumah mereka di Kluang, Johor.
Perkara itu dimaklumkan seorang daripada ahli keluarga mereka menerusi satu status di akaun Facebook bernama Ah Pek pada hari ini.
“Alhamdulilah ibu mertua,adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai. Terima kasih pada semua rakan,pihak polis dan semua yg terlibat membantu kes ini sehingga selesai.
“Sekarang saya masih dalam perjalanan dari Terengganu menuju pulang ke Kluang, Johor untuk tarik laporan yang bahawasanya kes sudah selesai,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial, Ahmad Nazrul juga memaklumkan bahawa kenderaan milik keluaga itu ditemukan di Johor.
“Alhamdulillah, mereka telah disahkan selamat tiba di rumah mereka di Kluang Johor. Kereta yang dinaiki empat beranak ini ditemui di sebuah kedai makan di Kluang.
“Pemilik kedai juga telah mengesahkan mereka ada berhenti makan dan seorang lelaki yang turut disyaki hilang iaitu Aiman Rafee yang telah membuat pembayaran di situ,” katanya dalam satu hantaran.
Difahamkan, ahli keluarga mereka yang berada di Terengganu susulan menerima berita kehilangan tersebut dan kini di dalam perjalanan pulang kembali ke Johor.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan kehilangan keluarga itu yang bercuti di Pulau Perhentian hujung minggu lalu.
Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor dan ahli keluarga sepatutnya keluar dari pulau peranginan tersebut semalam namun tiada khabar berita diterima saudara terdekat mereka. — Xklusif