Berita

Enakmen syariah dibatalkan: Kedah ada 7 enakmen undang-undang syariah yang sama

Kerajaan negeri akan merujuk Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam tempoh terdekat bagi menentukan sebarang tindakan lanjut yang bakal diambil pihaknya

ALOR SETAR 13 Feb – Kerajaan negeri mengenalpasti terdapat tujuh enakmen dalam undang-undang syariah Kedah mempunyai persamaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akan mengkaji kesan pembatalan pengisytiharan 16 kesalahan syariah terbabit ke atas undang-undang syariah negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan merujuk Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam tempoh terdekat bagi menentukan sebarang tindakan lanjut yang bakal diambil pihaknya.

“Kerajaan negeri sudah semak, ada tujuh enakmen yang sama dengan Kelantan. Kita akan kaji kesan perundangan bersabit keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Kita akan ambil tindakan yang wajar untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kesan ke atas pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ia mengikut laras undang-undang syariah Kedah.

“Akan rujuk Tuanku Sultan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Berikut adalah senarai enakmen yang batal

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Yang diisytiharkan sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button