Enam anggota polis ditahan terlibat proses, edar air ketum
Kesemua anggota polis itu ditahan dalam tiga tangkapan di ibu negara.

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan memproses dan mengedar air ketum dalam tiga tangkapan di ibu negara, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi oleh sepasukan polis Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Menurut beliau, empat suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Puchong di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, Khamis lalu.
“Terdapat empat lelaki dalam kediaman terbabit dan pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah anggota polis berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun. Kesemua mereka ditahan untuk siasatan.
“Polis turut merampas 18 kilogram (kg) daun ketum serta 13.5 liter air ketum dianggarkan bernilai RM420 dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya polis turut merampas peralatan memproses daun ketum, lima uniform polis serta wang tunai berjumlah RM1,200.
“Keesokannya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di Jalan Klang Lama dan polis merampas satu bekas air minuman mengandungi 10.5 liter air ketum.
“Kesemua suspek ditahan reman mulai 4 hingga 6 Januari lalu mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan empat anggota polis terbabit akan dikenakan tindakan tahan kerja,” katanya.
Katanya, sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields turut menahan dua lagi anggota polis berusia 31 dan 51 tahun di kawasan IPD Brickfields untuk membantu siasatan, semalam.
“Siasatan mendapati jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas boleh dibekalkan kepada 180 pengguna.
“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi,” katanya.
Amihizam turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan. — Berita Harian