Politik

Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yakin kerusi tidak dikosongkan

Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahlian kerana menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerusi Parlimen yang disandang mereka tidak akan dikosongkan memandangkan pindahan Perlembagaan Bersatu hanya diluluskan pada 1 April 2024 iaitu selepas mereka membuat keputusan mengenai sokongan tersebut.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, mereka tidak pernah meninggalkan Bersatu, atau berhenti menjadi ahli parti, sebaliknya telah dipecat dan nama dipadam dalam sistem keahlian.

Menurutnya, ia jelas membuktikan tidak ada unsur-unsur mereka berenam meninggalkan parti atau melompat ke parti lain yang boleh meletakkan mereka di Perkara 49 A (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami beranggap bahawa perlembagaan parti yang sememangnya dipinda dengan niat jahat untuk memastikan kami berenam dijadikan kambing hitam atau lebih jelas sebenarnya kami berenam ini dianiaya oleh pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) hanya kerana kami memilih rakyat kami daripada terus menyokong pucuk pimpinan yang terus menghentam dan mengkritik Kerajaan Madani.

“Kami juga ingin menyatakan sejelas-jelasnya bahawa kenyataan kami menyokong Kerajaan Madani adalah demi kepentingan rakyat di kawasan Parlimen kami masing-masing yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan kebajikan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Turut serta, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata, kesemua mereka merupakan mangsa keadaan setelah mendakwa pucuk pimpinan Bersatu membuat keputusan untuk menjadi pembangkang selepas pilihan raya umur (PRU) lalu tanpa berunding dengan mereka selaku wakil rakyat.

Sedangkan katanya, mereka bertanding untuk menang dan menjadi kerajaan.

“Itupun kami bertahan sehingga setahun. Jaga kawasan tanpa peruntukan, orang minta bantuan sakit kami terpaksa kata tak ada peruntukan… tapi kami tak boleh kata tak ada peruntukan lima tahun berturut-turut.

“Ini bukan pilihan kami untuk menjadi pembangkang. ini keputusan pucuk pimpinan yang menjadikan kami mangsa keadaan, maka kami memilih untuk balik semula ke jalan yang betul, menyokong kerajaan demi rakyat yang mengundi kami,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat tawaran menyertai parti lain, Suhaili bagaimanapun menegaskan selaku ahli Parlimen Bebas, mereka tidak akan menerima sebarang tawaran untuk menyertai mana-mana parti sehingga habis tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Kita cukup arif tentang akta lompat parti… bermakna, andai kata kami berminat menyertai mana-mana parti, ia mesti selepas habis tempoh PRU15. Selepas itu, kami putuskan mana nak pergi,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button