Berita

Enam penumpang cemas, bas Rapid KL tiba-tiba terbakar di Jalan Ampang

Kejadian berlaku di Jalan Ampang pada pagi tadi.

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Enam penumpang sebuah bas Rapid KL berdepan detik cemas apabila kenderaan itu tiba-tiba terbakar di sebuah pusat beli belah di Jalan Ampang, hari ini.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bas laluan Taman Mulia Jaya menghala Lebuh Ampang itu terbakar pada 10.52 pagi.

“Kejadian disedari kapten bas yang melihat asap dari bahagian belakang bas sebelum memberhentikan kenderaan untuk menurunkan penumpang dan mengawal kebakaran daripada merebak menggunakan alat pemadam api.

“Kapten bas dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kerosakan pada harta benda awam dilaporkan,” katanya.

Tambahnya, bas terbabit ditunda ke depoh pada 12.08 tengah hari.

Memohon maaf kepada penumpang terjejas, Rapid Bus berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dengan polis dalam siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat Mohd Fahbell Md Yasin berkata, seramai sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian

Katanya, bahagian belakang bas terbabit terbakar 50%.

Kebakaran dipadam sepenuhnya pada 11.07 pagi dan punca kebakaran masih disiasat, tambahnya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button