Berita

Fahmi balas sindiran KJ

Fahmi berkata sindiran Khairy itu mungkin dibuat berdasarkan perselisihan lama antara beliau dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

SAN FRANCISCO 18 Nov – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyanggah sindiran Khairy Jamaluddin yang menyifatkan beberapa menteri dalam Kerajaan Perpaduan, lemah.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, sindiran Khairy itu mungkin dibuat berdasarkan perselisihan lama antara beliau dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menyifatkan sindiran bekas Menteri Kesihatan berkenaan tidak sesuai, biarpun Kabinet mungkin memiliki beberapa kelemahan dalam melaksanakan fungsi atau tugasnya.

“Ketika beliau (Khairy) dalam kerajaan, was it half pass seven Cabinet (Kabinet yang lemah)? Saya dan beliau, kita sama-sama tidak sempurna. Justeru, perlu nilai perkara ini secara profesional dan saksama.

“Saya sokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG), tetapi semuanya perlu dibuat dengan betul sebelum ia diperkenalkan,” katanya.

Khairy kelmarin, dipetik berkata King Sing yang mempersoal RUU GEG seolah-olah tidak mengetahui kaitan tabiat merokok dan kanser, selain mempersoal kewibawaan Ahli Parlimen Bintulu itu sebagai menteri.

BH sebelum ini, melaporkan pembentangan RUU GEG akan diteruskan selepas memperoleh tarikh baharu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bacaan kali kedua RUU itu sepatutnya berlangsung 10 Oktober lalu, namun ditunda kepada suatu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Ia mengundang pelbagai reaksi serta spekulasi khususnya mengenai faktor mendorong penangguhan RUU itu di Dewan Rakyat.

Mengenai RUU GEG, Fahmi berkata, Khairy sepatutnya membentangkannya di Dewan Rakyat sebelum Kabinet terdahulu dibubarkan pada 2022, namun gagal berbuat demikian.

“Sebaliknya Kerajaan Perpaduan ketika ini hanya mematuhi nasihat Jabatan Peguam Negara untuk membuat penelitian lanjut terhadap RUU berkenaan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan,” katanya.

Beberapa menteri tak capai sasaran

Fahmi ketika mengulas persepsi beberapa menteri tidak mencapai sasaran, berkata lebih penting untuk memahami cabaran dihadapi kementerian berkenaan, sebaliknya bukan hanya memberi tumpuan kepada individu tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan sudah mencapai banyak kejayaan sepanjang 2022, walaupun berdepan pelbagai cabaran domestik dan global.

“Wajar jika menyatakan beberapa (menteri) perlu bekerja lebih keras dan lebih bijak dan saya bersetuju dengannya.

“Namun, anda mungkin ada menteri yang bagus tetapi mempunyai masalah lain, akhirnya akan tetap berdepan masalah juga,” katanya. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button