Fahmi Fadzil jelaskan kenapa kerajaan tak boleh campur tangan isu kadar upah p-hailing
Fokus kerajaan lebih kepada memastikan penghantar itu diberi perlindungan sosial yang lebih baik
KUALA LUMPUR 23 Jan – Kerajaan masih mengambil pendirian berkecuali dalam menentukan kadar upah yang diberi syarikat e-hailing atau p-hailing kepada kumpulan penghantarnya.
Menyedari kadar upah kepada penghantar sering menjadi isu dihadapi industri gig berkenaan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, fokus kerajaan lebih kepada memastikan penghantar itu diberi perlindungan sosial yang lebih baik.
“Penting ditegaskan, waktu ini, syarikat ini tidak dilesenkan oleh kerajaan seperti mana syarikat telekomunikasi. Jadi daripada satu sudut, jalan tengah yang kita pilih adalah untuk mengumpulkan pelbagai pihak supaya duduk berbincang mencari jalan penyelesaian bersama.
“Kerajaan belum membuat sebarang keputusan dan pendirian untuk mencampuri secara langsung dalam beberapa perkara (berkaitan kadar upah). Kecuali satu ketika nanti apabila syarikat p-hailing dilesenkan, sekarang belum (dilesenkan) lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej P-Hailing RAHMAH di sini, hari ini.
Justeru itu, Fahmi berkata, sebarang keputusan berkaitan isu kadar upah masih tertakluk kepada keputusan penyedia perkhidmatan berkenaan, selain kumpulan penghantar itu sendiri.
“Mungkin kalau penghantar dari satu syarikat merasakan ada syarikat lain yang menawarkan kadar upah lebih baik, maka mereka boleh berhijrah kepada syarikat itu. Perkara asas disini, pekerja mesti dijaga dari segi keselamatan sosial mereka.
“Di mana MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dengan Kementerian Digital meneliti manfaat yang boleh diperoleh penghantar contohnya dari segi pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Memandangkan saya lihat, pekerjaan seperti ini walaupun mereka dalam gig ekonomi, tapi rata-rata yang bekerja dengan syarikat ini ada yang sudah lima, enam tahun. Jadi saya rasa keselamatan sosial dia mesti diraih sepanjang masa. Saya lihat ada keperluan untuk teliti perkara ini,” katanya. – Berita Harian