Sukan

FAM tak berhasrat anjur Piala Dunia 2034

FAM menafikan dakwaan yang mengatakan Malaysia sedang berbincang dengan Indonesia untuk jadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan laporan Malaysia antara negara yang sedang berbincang dengan Indonesia untuk membida sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2034.Presiden FAM, Hamidin Amin berkata, tiada perbincangan sedemikian diadakan dengan sesiapa pun.

“Kami tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai penganjuran Piala Dunia 2034 dengan sesiapa pun. Dan kami juga tidak berhasrat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia dalam masa terdekat.

“Kami menyokong bidaan Arab Saudi dengan majoriti negara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Kami percaya Arab Saudi boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia yang berjaya,” katanya menurut New Straits Times.

Terdahulu, Reuters memetik Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia, Erick Thohir sebagai berkata, negara itu sedang berbincang dengan Australia berhubung kemungkinan membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 bersama Malaysia dan Singapura.

Thohir berkata, Malaysia dan Singapura menunjukkan minat untuk bersama Indonesia dan Australia menjadi penganjur bersama kejohanan itu ketika beliau melawat negara itu baru-baru ini.

Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) mempelawa ahli dari Asia dan Oceania membida penganjuran kejohanan itu edisi 2034 pada minggu lalu.— Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button