Politik

Fokus Kemenangan BN PRU15, Henti Tuding Jari Kekalahan Lepas – Ismail Sabri

SUNGAI SIPUT Nov 15 – – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu  kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terus ditangisi serta menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau mahu seluruh kepimpinan hingga ke akar umbi BN bergerak ke hadapan dan fokus bagaimana mahu mencapai kemenangan dalam PRU15 sekaligus membentuk kerajaan.

“Kita lupakan PRU lepas, siapa salah atau tidak, tidak perlulah kita bincangkan lagi. Kita perlu menang dalam PRU15, itu yang penting dan jangan ditangisi perkara lepas kerana tidak akan mengubah apa-apa.

“Yang penting kita belajar dari kesilapan dan kita pastikan kita menang dan (kembali) menjadi parti dominan. Sasaran kita adalah mendapatkan semula putrajaya, kita perlu menang (PRU15),” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah, Sungai Siput di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi MIC Perak, Tan Sri SA Vigneswaran yang juga calon Parlimen Sungai Siput.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan kemungkinan bergabung membentuk kerajaan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN, Ismail Sabri menegaskan, tiada kata putus mengenai dengan siapa BN akan bergabung kerana ia adalah keputusan parti melalui perbincangan dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sama ada akan terbentuk satu jajaran baharu dengan gabungan parti lain atau tidak, ia bergantung kepada keputusan PRU15.

“Kita tak boleh kata akan bergabung, kita tak tahu lagi keputusan penggabungan dengan sesiapa atau parti mana sekali pun adalah keputusan parti.

“Parti yang akan buat keputusan, kalau kita menang dan kita boleh bentuk kerajaan, sama ada gabung atau tidak itu akan difikirkanlah..tapi yang pasti adalah gabungan bersama parti daripada Sabah dan Sarawak yang mesti menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Tetapi dengan parti lain, mereka kata ada jajaran baharu dengan Pakatan Harapan (PH), ada orang kata dengan PN atau dengan PAS… itu selepas pilihan raya.

“Selepas pilihan raya, kita seberang jambatan dahulu dan kemudian baru kita putuskan. Kita putuskan pun bukan cara bersendirian. Kita mungkin panggil mesyuarat khas MKT untuk buat keputusan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button