Uncategorized

Fokus selesai masalah banjir agenda calon BN Padang Serai

PADANG SERAI, Nov 15 — Masalah banjir akan menjadi fokus dan agenda utama Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran sekirannya beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sivaraj berkata selepas lebih seminggu berkempen di sini, beliau mendapati masalah utama yang dihadapi penduduk ialah masalah banjir kilat yang sudah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, baru-baru ini sebanyak 10 lokasi membabitkan kawasan perumahan dan kampung telah dilanda banjir kilat dengan melibatkan kira-kira 200 orang mangsa.

“Antara lokasi yang terlibat ialah di Kampung Sungai Seluang, Taman Kancil, Sungai Karangan dan Sungai Kob, Kampung Siam dan banyak kawasan lain lagi.

“Saya sendiri telah pergi ke beberapa buah lokasi banjir untuk melihat keadaan penduduk dan mereka memaklumkan terpaksa berwaspada setiap kali hujan lebat dan ada yang terpaksa berdepan dengan banjir enam kali setahun.

“Banyak kerugian harta benda yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir ini selain turut menjejaskan aktiviti harian mereka untuk pergi bekerja.

“Anak-anak juga tidak dapat ke sekolah seperti biasa,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, justeru itu pihaknya bercadang untuk mengambil langkah drastik secepat mungkin bagi mengatasi masalah tersebut.

“Langkah awal yang kita akan lakukan ialah melalui kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengkaji punca berlaku banjir ini sebelum tindakan susulan boleh diambil.

“Bila dah jumpa punca, baru kita boleh rancang langkah penyelesaian dan minta peruntukan dari kerajaan persekutuan.

“Masalah ini mungkin disebabkan oleh sistem perparitan yang sudah lama tidak diselenggara dan faktor sungai yang dipenuhi sampah sarap sehingga tidak mampu menampung  kandungan air yang banyak ketika hujan lebat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun beliau perlu menang pada PRU15 terlebih dahulu untuk merealisasikan agenda tersebut.

“Selepas saya diberi mandat oleh masyarakat di sini, saya akan terus mulakan kerja tersebut dari hari pertama saya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button