FSY2024 anjuran YaPIEM medan terbaik ketengah idea bangun ekonomi, kewangan Islam

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akan menganjurkan Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) yang menghimpunkan hampir 60 penceramah dan ahli panel dari dalam dan luar negara dengan pelbagai latar belakang selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bin Ibrahim telah bersetuju untuk merasmikan forum ini dan menyampaikan ucaptama.
Penganjuran FSY2024 mensasarkan kehadiran 500 peserta dari dalam dan luar negara dan boleh diikuti secara fizikal mahupun dalam talian di laman Youtube YAPEIM TV dan menerusi sesi siaran langsung di Facebook YaPEIM (Official).
FSY2024 akan dikendali dalam Bahasa Melayu sebagai lingua franca Nusantara dengan beberapa sesi akan turut dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Ini bertujuan untuk memastikan penyertaan yang luas dan memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta dari seluruh rantau Nusantara.
FSY2024 mempunyai objektif untuk mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi dan kewangan semasa; merancang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam; memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisien dan tadbir urus yang baik dan untuk menghubungkan jaringan dan mengeratkan rantaian serta mewujudkan sinergi dan hubungan ekonomi antara ummah di rantau Nusantara.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024 Prof. Dato’ Dr. Saadiah binti Mohamad berkata, forum yang mengetengahkan tema “Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” telah menjemput penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia.
“Mereka yang dijemput mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pakar ekonomi, tokoh belia, penyelidik, pemimpin pelajar, usahawan sosial, pensyarah universiti awam dan swasta, wakil kementerian, ketua-ketua badan bukan kerajaan dan juga pengamal industri dalam sektor ekonomi dan kewangan Islam,” katanya.
Beliau berkata, antara topik yang akan dibincang serta dikupas dalam FSY2024 ialah memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan atau fintech dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi hijau dan kelestarian; ekonomi digital; keusahawanan; belia, kemahiran dan pekerjaan; industri halal dan pelancongan Islam; dan memperkasa institusi dan agensi Islam.
YAPEIM menganjur FSY2024 berfokuskan pembangunan ekonomi dan kewangan Islam di rantau Nusantara. Forum ini diharap dapat menjadi platform untuk merangka strategi baharu dan inisiatif yang praktikal bagi memajukan ekonomi Islam di rantau ini serta memberi dorongan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif.