Uncategorized

Gagal ekstrak data, CVR Beechcraft Premier 1 dihantar ke kilang pengeluar di Florida

Makmal di Singapura tidak dapat mengeluarkan rakaman suara itu daripada CVR kerana ada isu teknikal yang menjadi kekangan

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Kerajaan akan menghantar kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, ke Florida, Amerika Syarikat (AS), secepat mungkin.

Ia selepas makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura gagal mengekstrak semula data dari CVR berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan menghantar pasukan Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) ke kilang pengeluar CVR itu yang terletak di Florida.

“Pagi tadi, saya dimaklumkan Ketua BSKU, makmal di Singapura tidak dapat mengeluarkan rakaman suara itu kerana ada isu teknikal yang menjadi kekangan.

“Jadi pasukan BKSU akan pulang semula ke Kuala Lumpur hari ini dan memberi penjelasan kepada saya.

“Tindakan susulan kita setakat ini ialah menghantar ‘memory puck’ itu ke pengeluar CVR itu ke Florida untuk dianalisa seawal malam ini atau esok pagi,” katanya.

CVR
Keadaan CVR yang hangus

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Seminar Keselamatan Penerbangan anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), di sini hari ini.

Semalam Anthony dilaporkan berkata, CVR bersama komponen ‘memory puck’ yang mengandungi data rakaman suara dalam pesawat terbabit sudah dihantar ke makmal di Singapura untuk mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir dalam kokpit pesawat itu.

Katanya, ia selepas Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan data CVR pesawat itu kerana disahkan hangus terbakar.

Dalam kejadian nahas petang Khamis lalu, 10 mangsa disahkan maut termasuk Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Pesawat ringan itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button