Uncategorized

Gambar belakang bendera Israel, Anwar marah PAS pertikai sokongannya terhadap Palestin

Anwar tidak pernah menyinggung PAS berikutan mengetahui pendirian parti itu yang sangat konsisten sejak dulu dalam menyokong rakyat negara berkenaan

KUALA LUMPUR 7 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu semua pihak termasuk pembangkang bergerak ke depan dan bersama membawa idea serta tindakan dalam isu Palestin bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat negara itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata dalam hal berkaitan Palestin, pihaknya tidak pernah menyinggung PAS berikutan mengetahui pendirian parti itu yang sangat konsisten sejak dulu dalam menyokong rakyat negara berkenaan.

“Saya setuju dalam hal ini, saya tidak pernah menyinggung PAS kerana saya tahu pendirian PAS, sangat konsisten dalam Palestin… tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah untuk semua bersama dalam isu Palestin dengan kedua-dua pihak menghapuskan sebarang tularan tidak perlu, sebaliknya menumpukan usaha membantu mereka dalam apa cara sekalipun.

Sebelum itu, Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Perdana Menteri menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang ditujukan kepada Dewan Ulama PAS.

Ahmad merujuk kepada laporan akhbar Harakah bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’ yang disifatkannya sebagai persoalan dan bukan tuduhan.

Melalui laporan itu juga, terdapat gambar Perdana Menteri yang berlatarbelakangkan bendera Israel.

Howard Lee (PH-Ipoh Timor) kemudiannya mencelah dengan menyatakan peraturan mesyuarat itu hanya terpakai untuk ahli dewan sahaja.

Perdana Menteri kemudian bangkit menjelaskan yang beliau marah terhadap paparan gambar berlatarbelakangkan bendera Israel dan ia perlu diperbetulkan Harakah.

“Mengapa saya marah? Gambar saya dibelakangnya bendera Israel, YB harus faham yang YB juga keras dan marah dengan Israel, sayapun begitu. Tidak apa hendak tegur, hendak marah, kritik saya dalam soal lain saya terima dengan baik.. tetapi dalam hal ini, jangan.

“Jika penjelasan dibuat itu, saya ucapkan terima kasih dan kita boleh bergerak ke depan,” katanya. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button