Sukan

Gara-gara ‘false start’, Dek Wan gagal pertahan pingat emas

Keinginan tinggi untuk menang mungkin menjadi faktor Ridzuan melakukan kesilapan

KUALA LUMPUR 27 Okt – Pelari pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi tidak dapat menahan air matanya selepas penyertaannya pada aksi final 100 meter (m) T36 di Sukan Para Asia Hangzhou dibatalkan kerana ‘false start’.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ridzuan atau lebih mesra disapa DekWan tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2018 di Jakarta, Indonesia.

Jurulatih pecut para negara, Hamberi Mahat, berkata dia sudah melakukan yang terbaik bagi membantu anak didiknya itu untuk mengelak daripada melakukan kesilapan ketika blok permulaan.

Katanya, keinginan tinggi untuk menang mungkin menjadi faktor Ridzuan melakukan kesilapan.

“Dia memang sangat kecewa. Sebenarnya semalam di separuh akhir, dia ada melakukan kesilapan ketika reaksinya di blok (permulaan). Tapi bila saya sudah tunjuk video itu dan dia nampak kesilapan itu, saya beritahu jangan lakukan kesilapan sama lagi.

“Pagi tadi, ketika sesi pemanas badan untuk final, kami sama-sama lakukan pembetulan untuk reaksi di blok dan semuanya berjalan lancar.

“Sebenarnya Dek Wan sekarang ini sedang berada pada prestasi terbaik. Masa separuh akhir pun dia melakukan catatan peribadi terbaik musim ini.

“Sebagai jurulatih saya pun meletakkan sasaran tertentu tapi di perlumbaan final, mungkin dia terlalu hendak menang sehingga tak dapat kawal emosinya dan menyebabkan melakukan ‘false start’,” katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh atlet tuan rumah, Deng Peicheng yang melakukan rekod temasya 11.80 saat (s) diikuti rakan senegaranya, Yang Yifei perak (12.15s) manakala atlet Jepun, Takeru Matsumoto gangsa (12.38s). – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button