Berita

Gara-gara kucing, makmal sains IPG Pulau Pinang terpaksa dikosongkan

Kucing itu menjatuhkan 10 botol cecair kimia jenis sodium dehidrogen.

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Makmal Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang Gelugor di George Town terpaksa dikosongkan petang semalam susulan berlaku tumpahan cecair kimia yang berpunca daripada seekor kucing.

Kucing itu dikatakan menyelinap ke dalam makmal dan menjatuhkan 10 botol mengandungi cecair kimia jenis sodium dehidrogen sebelum disedari pembantu makmal.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.48 petang dan menggerakkan 16 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) daripada BBP Bayan Baru ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian anggota dapati terdapat tumpahan bahan kimia jenis sodium dehidrogen kuantiti 10 botol dengan jumlah keseluruhan 500 milimeter telah pecah di dalam bilik makmal berkeluasan 10×10 kaki persegi.

“Kita mengambil tindakan awal dengan mengosongkan bangunan berkenaan bagi membolehkan pasukan Hazmat menjalankan kerja-kerja nyah cemar bahan kimia tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.47 petang, katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button