GCH Retail sasar buka 100 outlet menjelang 2025, perkasa pembangunan ekonomi tempatan
GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini telah mengadakan satu majlis yang meriah bagi meraikan perjalanan syarikat tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GCH Retail (Malaysia), Cheah Yong Hock atau lebih dikenali dengan Tiger Cheah dalam ucapannya menekankan bahawa majlis tersebut adalah simbol transformasi dan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan yang berterusan.
Menurut Cheah “Tahun 2023 menandakan satu perubahan besar bagi GCH Retail Malaysia, apabila syarikat ini beralih dari pemilikan asing kepada pemilikan 100% oleh rakyat Malaysia. Transformasi ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan syarikat di dalam negara tetapi juga menunjukkan komitmen untuk menyokong komuniti tempatan dan menyumbang kepada ekonomi negara.”
Cheah menyatakan bahawa langkah ini membolehkan mereka untuk lebih mendalami akar umbi di Malaysia. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua institusi kewangan yang telah memberikan sokongan. Beliau menegaskan bahawa kepercayaan yang diberikan oleh Datuk Agil Natt dan Datuk Wan Razly Abdullah adalah asas penting bagi visi syarikat.
Pada majlis tersebut juga Cheah telah mengumumkan bahawa GCH Retail Malaysia telah berjaya kembali kepada keuntungan pada tahun 2024. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara banker, rakan perniagaan, serta pasukan pengurusan dan kakitangan yang berdedikasi. Beliau menekankan bahawa cabaran yang dihadapi telah ditangani dengan baik dan kini mereka berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan.
Melihat ke hadapan, GCH Retail mensasarkan untuk membuka 100 outlet menjelang Disember 2025. Ini bukan sekadar tentang pertumbuhan tetapi juga tentang menjadikan peruncitan moden dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia. Cheah menekankan pentingnya menyokong Program RAHMAH yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta inisiatif lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dengan setiap outlet baru, GCH Retail berhasrat untuk mencipta peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta menyokong inisiatif KPDN untuk memberikan nilai kepada komuniti. Komitmen syarikat terhadap program ‘Buy Malaysia’ juga ditekankan sebagai langkah untuk memperkukuh ekonomi tempatan.
Cheah optimis dengan menegaskan komitmen GCH Retail untuk memberikan nilai dan impak positif dalam komuniti dengan setiap langkah yang diambil. Dengan sokongan berterusan daripada banker dan rakan perniagaan, beliau yakin bahawa masa depan yang lebih cerah dan inklusif dapat dibina untuk semua rakyat Malaysia.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian lalu tetapi juga menjadi platform untuk merancang masa depan yang lebih baik bagi GCH Retail Malaysia. Beberapa vendor terkemuka juga telah menerima anugerah yang disampaikan oleh GCH Retail Malaysia atas kerjasama serta pencapaian sepanjang tahun sebelumnya.