Berita

Geely buat pelaburan tambahan RM45.3 bilion di Malaysia – PM

Pelaburan tambahan itu sebagai komitmen Geely untuk terus membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

KUALA LUMPUR 18 Julai – Syarikat automotif China, Geely menyatakan komitmen untuk melabur tambahan sebanyak AS$10 bilion (RM45.3 bilion) di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaburan tambahan itu sebagai komitmen Geely untuk terus membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Katanya, hasrat Geely itu dinyatakan menerusi surat sepanjang 10 halaman yang disampaikan kepadanya malam tadi, dan berpotensi melonjakkan ekonomi dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Syarikat Geely, yang buat kerjasama dengan Proton, mereka tulis surat kepada saya sepanjang 10 halaman. Beritahu mereka nak teruskan rancangan menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil yang terbesar di rantau ini.

“Mereka akan mula dengan pelaburan AS$10 bilion. Maknanya sekitar RM40 bilion. Untuk apa? Untuk saya ambil komisyen? Untuk saya terima hadiah? Atau untuk jamin ekonomi kita naik dan ribuan anak-anak kita mendapat kerja? katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button