Berita

Gerakan gesa Liberal International tarik balik sokongan terhadap Israel

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Gerakan, Loh Kah Yong.

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Gerakan membidas Liberal International (LI) yang berpusat di UK kerana menunjukkan sokongan terhadap Israel yang melancarkan serangan di Gaza, tanpa kesepakatan ahlinya.

Setiausaha Agung Loh Kah Yong dalam kenyataan berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk menarik diri daripada pertubuhan itu jika ia tidak menarik balik kenyataan menyokong Israel.

Tegasnya, Gerakan mendapati kenyataan LI “tidak menyenangkan dan mengecewakan kerana masyarakat antarabangsa harus berdiri teguh dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan bukannya menunjukkan sokongan kepada penceroboh.”

Pada 7 Okt, LI menerbitkan satu kenyataan yang mengutuk serangan ke atas orang awam Israel, dan menyatakan ia mengiktiraf “hak Israel untuk mempertahankan diri”.

Organisasi itu mengeluarkan kenyataan lain pada 14 Okt yang menyatakan bahawa ia “sangat sedih” dengan tragedi dan penderitaan manusia akibat serangan Hamas. Ia menggesa kumpulan itu membebaskan semua tebusan serta-merta.

Dalam pada itu, Gerakan menyeru PKR berganding bahu menggesa pertubuhan itu menarik balik kenyataan mereka, sambil menyatakan bahawa PKR juga disenaraikan sebagai ahli pemerhati pertubuhan itu.

“Lagipun, krisis kemanusiaan yang memuncak di Palestin melangkaui perbezaan politik kita dan memerlukan perhatian penuh kemanusiaan kita.

“Semua pihak mesti melaksanakan tanggungjawab kolektif dan menunjukkan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada yang tertindas. Kita mahu menunjukkan kepada generasi akan datang, kita telah melakukan perkara yang betul,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata beliau telah menghubungi LI meminta ia mengeluarkan nama dan lambang partinya daripada laman web rasminya.

Beliau berkata PKR bukan ahli dan tidak pernah membayar sebarang yuran keahlian kepada pertubuhan itu. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button