Gerakan terancang parti lawan cuba lemahkan Bersatu, PN
Perkara itu didedahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).
Itu dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin mendakwa, gerakan terancang itu menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat itu dan akan mengambil tindakan tegas.
“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini.
Katanya, ia bagi membincangkan perkembangan terbaharu melibatkan tindakan seorang lagi wakil rakyat Bersatu iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, tindakan Zahari dan seorang lagi iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim itu bercanggah dengan pendirian parti.
“Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan PN,” katanya.
Semalam, Zahari menjadi Ahli Parlimen keempat daripada Bersatu yang memutuskan untuk menyokong pentadbiran Anwar selaku Perdana Menteri.
Sebelum ini, tiga pemimpin Bersatu iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan Mohd Azizi telah mengambil tindakan serupa dengan memberi alasan demi kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
Iskandar Dzulkarnain telah menerima hukuman penggantungan selama empat tahun manakala keahlian Suhaili dalam Bersatu pula digantung selama enam tahun. — Xklusif