Berita

GST, CGT mungkin akan diperkenal semula

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang media selepas pembentangan KSP RM12 di Parlimen semalam berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan sebelum ini

KUALA LUMPUR: Penekanan untuk menjamin tanggungjawab fiskal dan inisiatif untuk mengembangkan asas perolehan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) menunjukkan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Keuntungan Modal (CGT) mungkin diperkenalkan semula.

Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, berkata inisiatif dasar lain termasuklah usaha-usaha untuk meningkatkan kadar pendigitalan, inovasi dan penggunaan teknologi, automasi dalam sektor pertanian dan memberikan dorongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk memperkenalkan pembiayaan berinovatif.

Selain itu, katanya inisiatif untuk menggalakkan penguasaan bakat dan pengasahan bakat menerusi latihan vokasional supaya membolehkan dasar gaji progresif dapat dilaksanakan.

“KSP ialah dokumen terperinci yang juga menekankan peri pentingnya untuk memberikan tumpuan kepada menaikkan tahap piawaian tatakelola dalam membanteras isu rasuah.

“Matlamat kemampanan ditekankan dengan kuatnya, begitu juga dengan penekanan sosial bagi membantu golongan B40 selari dengan konsep MADANI yang mementingkan perumahan mampu milik dan perlindungan penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang media selepas pembentangan KSP RM12 di Parlimen semalam berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan CGT, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.

“Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat Menteri Kewangan menerusi pembentangan bajet,” katanya.

Sementara itu, Chia berkata KSP RMK12 adalah dokumen dasar penting yang dirangka untuk menjunjung aspirasi yang dibawa oleh inisiatif-inisiatif Ekonomi MADANI.

Katanya, KSP ini berkait rapat dengan Pelan Induk Industri Baharu (NIMP) dalam jangka lebih panjang yang akan dilaksanakan sehingga 2030.

“KSP memberikan tumpuan besar ke atas aspek tatakelola, kemampanan, tanggungjawab sosial dan fiskal, begitu juga peningkatan produktiviti menerusi pendigitalan dan automasi.

“KSP mempunyai kesan positif jangka panjang untuk merubah ekonomi Malaysia, namun hal ini akan bergantung pada pelaksanaan dasar ini sendiri.

“Dengan ini, kami jangkakan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober nanti akan memperincikan butiran yang lebih menarik berhubung inisiatif-inisiatif jangka pendek yang hendak dilancarkan kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan kerajaan untuk meningkatkan paras siling perbelanjaan pembangunan kepada RM415 bilion daripada RM400 bilion di bawah RMK12 akan mendatangkan kesan positif yang sederhana.

Beliau berkata, sepanjang 2021 hingga 2022, jumlah perbelanjaan pembangunan sebenar yang dibelanjakan hanya mencecah RM135.9 bilion, dan hal ini menunjukkan sejumlah RM279.1 bilion lagi diperuntukkan untuk tiga tahun yang berbaki bawah RMK12.

“Terdapat 11 projek prasarana besar yang disebut. Antaranya ialah fasa 1B bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan fasa 2 untuk Sabah-Sarawak Link Road.

“Namun, kami ambil maklum bahawa projek Aliran Transit Massa 3 (MRT3) tidak disebut dalam KSP berkenaan,” katanya. – Berita Harian 

Artikel Berkaitan

Back to top button