Berita

Guru temui ajal dalam perjalanan ke pusat peperiksaan SPM di Dungun

Abd Rashid Mohd Nor, 48, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau menemui ajal di tempat kejadian

DUNGUN 8 Jan – Guru agama maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas di Kilometer 73 Jalan Jerangau-Jabur berhampiran Pusat Koreksional Dungun berhampiran Bukit Besi, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 8 pagi, Abd Rashid Mohd Nor, 48, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau menemui ajal di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktaffi Billah Shah Sharifuddin Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.08 pagi.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan jentera EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati mangsa yang memandu sendirian tertindih di bawah kenderaannya dan disahkan meninggal oleh anggota perubatan Klinik Kesihatan Bukit Besi.

“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa yang juga pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam perjalanan dari SMK Jerangau ke SMK Padang Pulut.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik beberapa kali.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button