Guru wanita maut keseorangan dalam rumah sewa di Terengganu
Mangsa berusia 50-an ditemukan pemilik rumah berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
KUALA LUMPUR 2 Jan. – Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia di dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, petang semalam.
Mangsa berusia 50-an ditemui seorang lelaki yang juga pemilik rumah berkenaan dalam keadaan berbaring di tepi dinding kira-kira jam 5.30 petang.
Sebelum itu, lelaki berusia 30 tahun bersama ibunya datang ke rumah berkenaan untuk meminta duit sewa bulanan selepas cubaannya menghubungi mangsa sejak lebih seminggu lalu gagal.
Sebaik tiba di rumah berkenaan, lelaki terbabit memberi salam namun tiada sahutan dari dalam rumah berkenaan.
Ketika membuka salah sebuah tingkap, lelaki terbabit terhidu bau busuk dan dia yang mengesyaki kejadian buruk menimpa mangsa segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.45 petang.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan jiran mangsa mengenai bau kurang menyenangkan yang datang daripada dalam rumah berkenaan.
“Sebaik tiba ke lokasi kejadian, kami menemui mayat seorang wanita di dalam rumah yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya. — Berita Harian