Hamzah nafi mahu rampas kedudukan Muhyiddin
Hamzah juga mengakui hubungannya dengan Muhyiddin adalah baik.

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa dakwaan beliau mempunyai masalah dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak benar.
Malah, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menjelaskan, isu merebut jawatan Presiden parti itu sama sekali tidak pernah timbul dan dakwaan tersebut hanya rekaan orang luar semata-mata.
“Siapa yang cakap? Dalam mesyuarat kami terdiri Presiden (Bersatu), Timbalan Presiden dan saya Setiausaha Agung baik saja. Tidak ada masalah.
“Ini mesti ada orang luar yang nak buat cerita bukan-bukan. Tak ada pun cerita tentang (saya nak bertanding jawatan Presiden) sebab pemilihan lagi 18 bulan. Apa hal nak cerita pasal perpecahan?,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, perselisihan untuk merebut jawatan itu tidak pernah berlaku memandangkan Muhyiddin yang melantik beliau sebagai Setiausaha Agung.
Beliau berkata, tindakan keluar daripada parti atau dipecat daripada parti akan terjadi sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku.
“Tidak ada. Saya Setiausaha Agung, Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden. Dia lantik saya sebagai Setiausaha Agung. Pasal apa nak (berlaku) perpecahan? Kalau saya tak suka dia saya berhenti. Kalau dia tak suka saya dia pecat saya.
“Adakah perkara itu berlaku? Apa hal ini buat cerita yang bukan-bukan. Sebab itu kita tengok rakan-rakan (dalam Bersatu) semua kami bersama, baik saja,” kata Ahli Parlimen Larut itu.
Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan hubungan Hamzah dengan Muhyiddin berantakan dek kerana isu jawatan Presiden Bersatu.
Media melaporkan, Hamzah calon utama untuk menggantikan Muhyiddin yang dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan akan datang. — Xklusif