Berita

Hapus AP jika mahu harga barang jadi murah

Ramai berdepan halangan membawa masuk barangan tertentu kerana AP.

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Pengguna mungkin dapat menikmati harga barang lebih murah jika permit diluluskan (AP) dimansuh atau dikurangkan dengan mewujudkan pasaran bebas, kata ketua rangkaian pasar raya besar tempatan.

Mengulas usaha menambah baik tatakelola AP dan permit import (IP) seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ameer Ali Mydin berkata ketika ini ramai berdepan halangan membawa masuk barangan tertentu.

Menurut pengarah urusan pasar raya besar Mydin itu, semua orang akan mampu membeli barangan dengan harga murah apabila wujudnya pasaran bebas dengan penghapusan AP barangan tertentu terutama makanan.

“Bila ada permit maknanya bukan semua orang tetapi yang terpilih sahaja boleh bawa masuk barang. Macam gula kena ada AP dan perlu minta kelulusan daripada kerajaan jika nak import. Dapat atau tidak itu cerita lain…tiada ketelusan.

“Beras pun begitu…sekarang kita jual 10 kilogram beras import pada harga RM42 manakala di Thailand hanya RM34…tapi saya tak boleh bawa masuk. Kalau saya boleh masuk beras Thailand saya boleh jual pada harga itu juga,” katanya.

Ameer berkata pasaran tempatan juga akan menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.

Isnin lalu, Anwar berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) membincangkan usaha menambah baik tatakelola AP dan IP dengan mencari formula bukan sahaja menguntungkan pengguna tetapi pengeluar tempatan dalam memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa mencukupi.

Pakar pertanian dari Universiti Putra Malaysia Fatimah Mohamed Arshad pula berpandangan AP bukan strategi jangka panjang ideal menjamin bekalan makanan negara berikutan beberapa “masalah” seperti pemegang permit lazimnya pilihan ahli politik.

Menurutnya, Malaysia sepatutnya meningkatkan usaha memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan bekalan makanan, mengambil contoh India yang menjadi pengeksport terbesar beras di dunia dalam masa 10 tahun tanpa perlu bergantung kepada agensi kerajaan.

“Di Malaysia, semua agihan dipusatkan kepada satu agensi menyebabkan tindakan lambat ditambah masalah tadbir urus dan kos tinggi setiap tahun,” katanya. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button