Berita

Harga ayam kekal sejak tahun lalu – KPDN

Data diperoleh KPDN menunjukkan harga ayam standard di Semenanjung Malaysia turun 0.33 peratus bagi tempoh 12 Ogos hingga 26 Ogos.

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kerajaan masih mengekalkan harga ayam RM9.40 sekilogram bagi ayam standard dan RM10.40 sekilogram bagi ayam super di Semenanjung Malaysia sejak 12 Oktober tahun lalu.

Susulan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata peniaga yang menjual ayam standard dan ayam super melebihi harga kawalan ditetapkan itu melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Beliau berkata, pengguna digalak membuat aduan di pelbagai saluran aduan rasmi KPDN jika mempunyai maklumat berkenaan peniaga yang melakukan kesalahan itu untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya harga ayam standard RM9.40 sekilogram dan ayam super RM10.40 sekilogram itu masih berkuat kuasa hingga kini dan jika ada peniaga menjual melebihi harga ditetapkan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut AKHAP 2011.

“Jadi, jika kes itu berlaku, pengguna boleh melaporkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut diambil terhadap peniaga terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fuziah berkata, berdasarkan pemantauan pihak penguat kuasa dan lebih 900 pegawai pemantau harga KPDN setiap hari membabitkan hampir 1,500 premis iaitu pasar basah, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara, data diperoleh KPDN menunjukkan harga purata ayam standard di Semenanjung Malaysia turun 0.33 peratus bagi tempoh 12 Ogos hingga 26 Ogos.

Beliau berkata, harga purata ayam standard di Semenanjung pada 12 Ogos ialah RM8.73 sekilogram berkurang kepada RM8.70 sekilogram pada 26 Ogos.

Katanya, penurunan harga purata iaitu 0.12 peratus pula berlaku di Sabah daripada RM11.30 sekilogram kepada RM11.29 sekilogram, manakala di Sarawak turun 0.47 peratus iaitu RM10.28 sekilogram kepada RM10.23 sekilogram bagi tempoh sama.

“Harga purata ayam standard di pasaran pada Februari 2023 adalah stabil pada harga kawalan dan trend penurunan mula dilihat mulai Julai hingga Ogos dengan harga purata terendah dicatatkan pada 4 Ogos di Semenanjung iaitu RM8.11 sekilogram.

“Selari dengan itu juga, kadar inflasi terus reda berserta IHP berada dalam jajaran menurun,” katanya.

Fuziah berharap, orang ramai menjadi pengguna bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dulu sebelum berbelanja.

Beliau berkata, pengguna disaran menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk mendapatkan maklumat terkini harga barangan keperluan harian di premis jualan di kawasan masing-masing.

“Pengguna juga boleh menggunakan hak mereka dalam menyalurkan maklumat dan aduan jika peniaga tidak patuh kepada harga kawalan.

“Aduan boleh dibuat kepada KPDN melalui WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; e-mel (e-aduan@kpdn.gov.my); Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245 dan Kod QR Aduan Suri,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button